top of page

Di Sarawak, kaum Bidayuh merupakan kaum kedua terbesar dengan jumlah penduduk sebanyak 210 000 orang. Secara umumnya, masyarakat Bidayuh mempunyai penempatan di sekitar kawasan barat daya Sarawak iaitu di bahagian Serian, Kuching dan barat Kalimantan. Kaum Bidayuh terdiri daripada empat subetnik iaitu:

 

1. Selakau/Lara (Daerah Lundu)

2. Jagoi/Singai (Daerah Bau)

3. Biatah (Daerah Kecil Padawan)

4. Bukar/Bukar Sadong (Daerah Serian)

 

Pada hakikatnya, masyarakat Bidayuh berkomunikasi dalam bahasa yang berlainan walaupun tergolong dalam keluarga bahasa Bidayuh. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Bidayuh mengandungi keistimewaan tersendiri iaitu perbezaan ketara antara subetnik dari segi sebutan, percakapan, gaya dan rentak pertuturan. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas pada bahasa Bidayuh berdasarkan perubahan intonasi yang dapat ditemui di suatu kawasan kampung dan daerah. Keadaan ini menyebabkan masyarakat Bidayuh agak sukar berinteraksi jika mereka berasal dari daerah berbeza (Mary Fatimah Subet, Shanthi Nadarajan, Wan Robiah Meor Osman & Salbia Hassan, 2015).

​

Bagi bahasa Bidayuh di Bau, Sarawak, bahasa Bau Jagoi dikenali sebagai Sinda' Bau Jagoi. Suku ini berasal dari Gunung Bratak yang merupakan penempatan terawal Bidayuh setelah berpindah dari Sungkung, Kalimantan Barat, Indonesia (Sarok & Shamat, 2020). Bidayuh Bau merupakan dialek yang dituturkan oleh majoriti 50,000 orang yang berpusat di sekitar daerah Bau, tidak jauh dari bandar Kuching di negeri Sarawak, Malaysia. Bahasa Bidayuh di daerah Bau terdiri daripada 3 sub-dialek utama di 3 buah kawasan iaitu Jagoi, Serombu dan Singgai. Bahasa Bidayuh secara umumnya dapat dikenali melalui nama tertentu. Sebagai contoh, Bidayuh Jagoi dikenali sebagai BiJagoi atau Bau-Jagoi, Biro’ih dinamakan Serombu manakala Bidayuh Singgai ialah BiSinggai. Kaum Jagoi juga dapat diklasifikasikan dengan lebih terperinci iaitu Jagoi, Bratak dan Krokong (Borneo Dictionary, 2020).

 

Kami merupakan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Linguistik Tahun 1 Semester 2 sesi 2019/2020 dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Laman web ini merupakan sebahagian daripada projek komuniti bagi kursus PBL1163 Pengantar Linguistik Antropologi dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Bagi projek ini, kami menumpukan kajian pada kaum Bidayuh Bau, Sarawak tentang kaedah pengekalan bahasa dan budaya masyarakat Bidayuh. Kami membahagikan laman web ini kepada dua tajuk utama iaitu “Bahasa dan Budaya” dan “Tradisi Lisan”. “Bahasa dan Budaya” merangkumi lima subtajuk iaitu Pakaian, Perayaan Gawai, Makanan Tradisional, Tarian dan Alat Muzik Tradisional dan Kraftangan. Selain itu, “Tradisi Lisan” pula terbahagi kepada tiga subtajuk iaitu Pantun, Bahasa Figura dan Cerita Rakyat. Laman web ini ditubuhkan sebagai usaha kami untuk membantu masyarakat Bidayuh Bau mengekalkan bahasa dan budaya mereka. Oleh itu, kami berharap agar masyarakat Bidayuh dapat memartabatkan, memelihara dan mengekalkan kekayaan warisan bahasa dan kaum Bidayuh secara progresif.

​

​

Rujukan

​

Borneo Dictionary. (2020). Bidayuh Bau. Capaian dari https://borneodictionary.com/bidayuh-bau/

​

Mary Fatimah Subet, Shanthi Nadarajan, Wan Robiah Meor Osman & Salbia Hassan.                                   (2015). Unsur Semantik  dan Pragmatik dalam Pantun Bidayuh Jagoi. Kuching:InfoGrafik Press Sdn. Bhd.

​

Sarok A. & Shamat T. P. (2020). Masyarakat Bidayuh. Capaian dari https://www.academia.edu/9229057/MASYARAKAT_BIDAYUH

​

       SILA ISI GOOGLE FORM TERSEBUT:

​

       Link dibawah:

​

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSeB488c2NKW4mBbiog_XWnf-JLgAUbQSDuXygPDw73DkCYpcw/viewform

​

​

​

Home: Welcome
bottom of page