SUMPAH (SUPAH) SETIA BUAYA (BU'AI) DENGAN KAUM BIDAYUH
​
​
Al-sahibul hikayat beratus-ratus tahun dahulu diceritakan bahawa masyarakat Bidayuh yang mempunyai banyak penempatannya di Sungai Sarawak Kiri juga seperti kaum yang lain di Sarawak. Terdapat tragedi yang berlaku keatas seorang wanita bidayuh atau dayung yang masih berdarah manis kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dengan seorang pemuda Bidayuh atau darii.
Pada suatu hari, si isteri turun ke sungai untuk membasuh pakaian. Tiba-tiba, si isteri (sewun) sedang asyik mencuci pakaian itu ditarik oleh sang buaya sehingga menemui ajalnya. Apabila mendengar peristiwa malang yang menimpa isterinya maka si suami (benuh) dan penduduk rumah panjang Bidayuh yang berdekatan cuba mencari buaya (bu'ai) yang membuat onar itu. Namun begitu, tiada berita mengenai si isteri tersebut sehingga si suami bermuram durja. Pada masa itulah dikatakan si suami sering duduk di tepi sungai tempat dimana si isteri dikatakan dibaham oleh buaya tersebut. Kesemuanya dilakukan kerana si suami terlalu merindui isterinya yang baru dikahwininya.
Si suami sedang duduk di tepi sungai didatangi oleh seekor buaya yang besar. Si suami tidak menunjukkan ketakutannya di hadapan Sang Bedal itu.
Dia bertanya kepada si buaya apakah tujuan si buaya besar menganggunya duduk di tepi sungai tersebut. Si buaya itu mampu berkomunikasi dengannya. Kedatangan si buaya adalah untuk memohon bantuan daripada si suami untuk merawat isterinya iaitu si buaya betina yang menanggung kesakitan kerana tertelan tulang manusia. Maka, jauh di sudut hati si suami sudah mula mempunyai firasat bahawa yang membaham isterinya mungkin si buaya betina iaitu isteri si buaya jantan tersebut.
Si buaya betina menghampiri ke tepi sungai. Pada ketika itulah si suami telah mencuba mencabut tulang kaki yang menusuk di celah-celah rahang si buaya betina. Selepas membantu si buaya betina cuba untuk mengibas ekornya ke arah si suami. Dikatakan ketika itu si buaya betina terlalu lapar kerana sudah beberapa minggu menahan kesakitan. Aksi si buaya betina berjaya dihentikan oleh si buaya jantan.
Bagi si suami pula sudah siaga segalanya dengan parang hanya perlu menetak sahaja si buaya betina. Lebih-lebih lagi dendam kesumatnya kerana si buaya betina telah membaham isterinya yang dicintai. Namun begitu, si suami mengenang perjanjian antara dirinya dengan si buaya jantan maka si suami menghentikan niatnya.
Setelah perdamaian, si buaya jantan dan si buaya betina dibiarkan kembali ke lubuknya. Satu perjanjian iaitu keesokan harinya kedua-duanya harus membayar pengeras (pingeras) atas pertolongan si suami tersebut.
Pengeras yang dipersetujui antara si buaya jantan dan si suami adalah 7 utas manik (tumbis) berawan iaitu jenis manik yang kebiasaannya digunakan untuk upacara ritual di dalam masyarakat Bidayuh. Maka pada hari yang dijanjikan bertemulah si buaya jantan dan buaya betina dengan si suami di tepi sungai.
Menurut ceritanya di ketika si buaya jantan cuba menyerahkan 7 utas manik berawan yang diisi di dalam beg itu barulah si buaya jantan sedar bahawa begnya bocor. Ini bermakna 7 utas manik berawan itu mungkin sudah jatuh di mana-mana di dalam sungai yang berkemungkinan besar sukar untuk si buaya jantan mendapatkannya kembali.
Atas kelalaiannya itu menyebabkan si buaya jantan mahupun buaya betina berasa malu yang amat sangat dengan si suami. Mereka terlalu terhutang budi dengan si suami yang sanggup menyelamatkan nyawa si buaya betina biarpun si buaya betina yang membaham si isteri. Pengeras yang dimaksudkan pula hilang entah ke mana dan akhirnya kedua-dua buaya nekad membuat sumpah taat setia kepada seluruh masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri.
Sumpah setia sang buaya adalah tiada mana-mana generasi buaya yang
akan mencederakan mahupun membaham mana-mana masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri. Mereka akan menghindarkan diri mereka jika ada bertembung dengan masyarakat Bidayuh selamanya. Sumpah setia sang buaya ini diterima oleh si suami demi mengenangkan kesinambungan penghidupan masyarakatnya kelak. Bermula dari itulah dikatakan banyak buaya sudah tidak mendiami Sungai Sarawak Kiri sehingga sekarang.
PENGAJARAN : Janganlah kita menyimpan dendam terhadap orang lain agar kita memperolehi ketenangan hidup. Kita juga perlulah membalas budi seseorang.
​
Rujukan
​
Oracle B. (2017, February 2). Sumpah Setia Budaya dengan Kaum Bidayuh. Retrieved from https://www.facebook.com/BorneoOracle/photos/a.449424688437754/1297611686952379