top of page

Suku kaum yang terdapat di Sarawak mempunyai lambang budaya yang sangat unik dan menarik dan salah satunya adalah pakaian tradisional. Oleh itu, suku kaum Bidayuh juga mempunyai pakaian tradisional yang mempunyai maksud yang tersendiri. Keunikan pakaian suku kaum Bidayuh terserlah dengan ragam hias yang dipamerkan oleh kaum tersebut untuk memperlihatkan kepada suku kaum lain hasil kemahiran pereka-peraka daripada suku kaum ini. Ragam hias pada pakaian membentuk unsur-unsur keunikannya sama ada dari tenunan, jalinan manik dan labuci.

 

Perhiasan diri yang digunakan oleh suku kaum ini adalah dari perak dan manik yang banyak dan sarat melambangkan status dan kekayaan kepada pemakainya. Pakaian tradisional kaum-kaum yang terdapat di Sarawak boleh dinyatakan sebagai busana Sarawak. Busana merupakan keseluruhan pakaian tradisional yang digunakan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Busana tidak akan lengkap jika tidak mempunyai aksesori dan tata riasnya. Dalam erti kata lain, pakaian tradisional kaum-kaum yang terdapat di Sarawak yang lengkap melibatkan aksesori-aksesori yang tersendiri.

 

 

Busana yang dipakai merupakan cerminan keperibadian dan status si pemakai. Selain itu, busana tersebut juga adalah cara pereka tersebut menyampaikan pesanan atau imej kepada orang yang melihatnya. Sebagai contoh, setiap suku kaum yang terdapat di Sarawak adalah berbeza. Semua elemen-elemen yang digunakan perlu diperhatikan dan dipertimbangkan untuk memperolehi busana yang cantik, serasi, unik, indah dan menarik. Kepelbagaian busana yang terdapat di Sarawak melambangkan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik di dalamnya.

​

​Henry, H. (2014). Pengurusan Pakaian Tradisional Kaum Bidayuh Di Daerah Bau, Sarawak. Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak, 1-24.

bottom of page