Rumusan Artikel
Artikel-artikel umum yang relevan berkaitan unsur lagu dan pengekalan bahasa dimuatkan dalam platform ini sebagai sokongan terhadap langkah yang dicadangkan.
Awan Nano Mengungkap Keindahan Bahasa Melayu di Pentas Juara Lagu
Lagu Awan Nano mencapai kejayaan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL). Susunan muzik dan lirik yang mantap ini berjaya memukau para juri dan peminat. Lagu tersebut mempunyai kekayaan melodi yang melambangkan jati diri dan identiti muzik Melayu malah berpotensi untuk berada dalam senarai lagu malar segar yang akan bertahan dalam hati pencinta tempatan. Nyanyian yang dipersembahkan oleh Hafiz itu telah berjaya membuktikan bahawa bahasa yang indah dapat dijadikan “modal” berharga dalam suatu pertandingan. Lebih-lebih lagi, lagu tersebut turut memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang muzik tanah air ke mercu kegemilangan secara tidak langsung. Bahasa bukan sahaja boleh digunakan untuk menyampaikan idea atau berkomunikasi dengan orang lain tentang sesuatu tetapi bahasa yang baik juga dapat digunakan untuk menyampaikan idea melalui lirik lagu. Oleh itu, lagu Awan Nano telah berjaya menggarap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa harian untuk menjanakan tradisi pemikiran dan amalan ilmu mengikut acuan kita sendiri. Lagu tersebut juga dapat menggerakkan penggunaan bahasa Melayu yang dapat membangunkan negara bangsa dan tamadun Malaysia yang kukuh bertunjangkan kesenian dan budaya Melayu dalam setiap aspek kehidupan.
Pemuzik Diminta Menghasilkan Lebih Banyak Lagu Iban Berkualiti
Persatuan Anak Seni Iban Malaysia (PASIMA) meminta pemuzik dan pencipta lagu Iban di Sarawak menghasilkan lebih banyak lagu Iban berkualiti yang boleh dipasarkan melalui Internet. Pasaran lagu tersebut semakin meluas setelah masyarakat memuat turun lagu ciptaan dengan mudah menerusi rangkaian Internet. Pihak yang terlibat berusaha untuk menjadi lebih kreatif dengan mengeluarkan album Iban terutama artis baharu kerana pada masa kini, mereka perlu bertindak pantas dengan mengeluarkan pelbagai jenis album menggunakan teknologi perisian muzik seiring dengan perkembangan hiburan semasa. Pada era teknologi maklumat ini, pihak yang bertanggungjawab seperti pemuzik dan pencipta lagu Iban boleh menghasilkan lagu sendiri, merekodkannya di rumah atau di bilik masing-masing serta memasarkannya melalui perisian Internet. Tambahan pula, persatuan tempatan, premis hiburan atau individu yang berkemampuan disarankan untuk menganjurkan pertandingan nyanyian lagu Iban dalam usaha untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti album Iban di pasaran di samping dapat mencungkil bakat baharu.
Karya Muzik Bantu Martabatkan Bahasa Ibunda
Penggubahan lagu Dusun yang dinyanyikan dalam pelbagai platform boleh membantu komuniti tersebut memartabatkan bahasa ibunda mereka. Penguasaan bahasa ibunda boleh diperkasakan melalui lagu dalam bahasa etnik itu sekali gus memastikannya tidak luput ditelan zaman. Jika diteliti dengan lebih mendalam, terdapat pelbagai cabaran yang berlaku dalam kebanyakan bahasa etnik di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Maka, tindakan untuk memelihara kelangsungan penggunaan bahasa dipergiat kerana didapati lebih ramai ibu bapa memilih penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa apabila berkomunikasi dengan anak-anak di rumah. Bersangkutan dengan hal tersebut, kewujudan lagu yang digubah menerusi bahasa ibunda dan dinyanyikan secara meluas dapat menjadi ikutan generasi muda dalam memperkasakan penguasaan bahasa asli mereka. Peminat seni muzik dan nyanyian juga boleh menggunakan saluran media sosial seperti YouTube untuk mengetengahkan bakat dan hasil ciptaan lagu mereka. Rentetan itu, ramai anak muda pada masa kini dilihat berjaya menempah nama dalam industri hiburan melalui YouTube. Oleh itu, pihak yang terlibat berharap agar masyarakat Dusun dapat menggunakan saluran tersebut sebaiknya untuk mempamerkan bakat seni mereka.
Lagu-Lagu Sejarah, Kebudayaan dan Patriotik dalam Tamadun Rumpun Melayu
Manusia secara fitrahnya suka akan nyanyian dan muzik bertujuan untuk hiburan terutama golongan muda. Perkembangan industri muzik antarabangsa mahupun tanah air mampu mempengaruhi gaya hidup, gaya fesyen dan kebudayaan sesebuah masyarakat. Pelbagai inisiatif dilakukan oleh sesetengah masyarakat bagi mengekalkan unsur bahasa dan budaya pelbagai kaum dalam sesebuah lagu, nyanyian atau muzik. Antara usaha pihak terlibat adalah dengan menyusun lagu atau lirik untuk menceritakan sesuatu diiringi dengan rentak muzik. Sehubungan dengan itu, salah satu contoh lagu rakyat yang sesuai dinyatakan adalah daripada kaum Melayu Sarawak iaitu lagu ‘Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang, Penjaga Gunung Negeri Sarawak’. Lagu tersebut mengisahkan kisah lagenda berkenaan dua orang puteri yang jelitawan dari negeri kayangan turun ke muka bumi untuk ditugaskan menjaga negeri masing-masing. Tetapi, terjadi keadaan kucar-kacir antara negeri akibat kesalahfahaman lalu mereka berdua disumpah oleh dewa negeri kayangan menjadi gunung dan pulau iaitu merujuk kepada Gunung Santubong, Pulau Kera dan pulau-pulau sekitar di Sarawak. Ia dikaitkan dengan kisah lagenda tersebut dan lagu itu dinyanyikan dalam dialek Melayu Sarawak. Oleh itu, industri muzik di rantau Asia Tenggara terutama dalam kalangan rumpun bangsa Melayu mampu berkembang luas melepasi sempadan negara.
Penggunaan Lagu dalam Meningkatkan Penguasaan Kosa Kata dalam Kalangan Pelajar Bahasa Jepun di Universiti Putra Malaysia
Masalah yang dihadapi oleh pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam mempelajari bahasa Jepun dari segi menghafal kosa kata telah menyebabkan pengkaji mencadangkan satu kaedah pengajaran yang dapat digunakan untuk mempermudah proses pembelajaran, khususnya dalam penguasaan kosa kata iaitu penggunaan lagu. Kaedah ini digunakan kerana lagu mampu menyediakan medium penyebutan yang secara tidak sedar disimpan dalam memori otak kerana ia juga dapat mempengaruhi emosi pendengar. Pengajaran kosa kata dalam sesuatu bahasa memerlukan penggunaan media yang menyeronokkan dan menarik untuk membantu pelajar memahami kosa kata bahasa Jepun dengan mudah. Pelajar akan terdedah kepada sebutan penutur asli apabila mereka mendengar lagu-lagu dalam bahasa Jepun dan ketika mereka menyanyikan lagu tersebut secara tidak langsung mereka menggunakan bahasa Jepun. Cara ini membantu pelajar menghafal dan menggunakan kosa kata secara semula jadi. Oleh itu, muzik dan lagu dapat berfungsi secara langsung dengan memotivasikan pelajar untuk belajar bahasa Jepun, membentuk rangsangan maksimum, pemerolehan bahasa yang berkesan dan efektif. Penggunaan lagu-lagu Jepun dalam pengajaran kosa kata memudahkan pelajar mengingati kosa kata yang disebut dalam nyanyian lagu Jepun dan kaedah ini memberikan kesan positif dalam meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Jepun pelajar di UPM.
Muzik Kontemporari sebagai Alat Pembentukan Nilai dalam Komuniti: Ke Mana Hala Tuju Kita?
Seni muzik adalah salah satu cabang seni yang digunakan oleh manusia untuk menyatakan aspek pemikiran. Dalam hal ini, orang-orang Melayu secara fitrah dibekalkan dengan kemampuan untuk menyatakan perasaan atau ekspresi diri melalui pelbagai cara dan salah satu antaranya ialah melalui muzik. Irama dan gaya penyampaian muzik atau dendangan lagu mempunyai kaitan yang rapat dengan cerminan sosial. Bertitik tolak daripada kenyataan di atas, lagu-lagu Melayu semakin berkembang dalam industri hiburan di Malaysia. Keadaan ini jelas berlaku melalui rancangan-rancangan nyanyian terbitan stesen-stesen televisyen kerajaan atau swasta. Lagu-lagu Melayu yang berpaksikan nilai-nilai barat dipopularkan oleh anak-anak muda yang berimpian membina kerjaya dalam bidang nyanyian. Pihak industri muzik pula menggalakkan penerapan ini dengan menubuhkan badan atau akademik untuk membantu pelajar dan peserta terpilih bagi mengasah bakat masing-masing. Mereka sanggup menyediakan jurulatih atau jurutunjuk vokal, pakar penampilan diri dan pemanfataan pentas yang dipilih khas daripada kalangan penggiat seni tempatan dan luar negeri. Kesan pembentukan muzik kontemporari ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat serta turut menjadi kegilaan golongan remaja termasuklah golongan orang-orang berusia senja.
​
Namun, lagu-lagu berirama Melayu Asli seperti Zapin, Inang, Joget dan sebagainya tetap diberikan tumpuan oleh beberapa ahli komposer Melayu yang percaya bahawa jati diri bangsa Melayu harus dikekalkan. Maka, salah satu cara mengekalkannya adalah melalui penciptaan lagu-lagu Melayu dalam irama Melayu Asli. Rentetan daripada itu, pengkaji mengemukakan cadangan-cadangan bagi memelihara bahasa Melayu secara berterusan dalam bidang nyanyian iaitu antaranya ialah Kementerian Pendidikan harus berperanan memberikan banyak ruang dalam pembentukan diksi dan penyampaian lagu. Lagu-lagu yang dipilih hendaklah berjiwa Melayu, dicipta menggunakan lenggok Melayu serta mendidik pelajar menyebut seni kata lagu dengan tekanan, pematahan kata dan intonasi yang betul. Pihak Kementerian juga perlu menetapkan garis panduan tentang penyampaian dan penghayatan lagu Melayu dalam pertandingan nyanyian yang diadakan. Selain itu, kelas-kelas muzik hendaklah dibangunkan secara progresif dengan menempatkan guru-guru yang berkemahiran dalam ilmu fonologi Melayu.
Rujukan
Abdullah, A, R. & Hussin, S. (2018). Penggunaan lagu dalam meningkatkan penguasaan kosa kata dalam kalangan pelajar bahasa Jepun di Universiti Putra Malaysia. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, 5(2), 279-288.
​
DayakDaily. (2019). Pemuzik Diminta Menghasilkan Lebih Banyak Lagu Iban Berkualiti. Capaian dari https://dayakdaily.com/pemuzik-diminta-menghasilkan-lebih banyak-lagu-iban-berkualiti/
​
Hafiz A.K. (2017). Lagu-Lagu Sejarah, Kebudayaan Dan Patriotik Dalam Tamadun Rumpun Melayu. Capaian dari https://www.thepatriots.asia/lagu-lagu-sejarah-kebudayaan-dan-patriotik-dalam-tamadun-rumpun-melayu/
​
Ibrahim bin Ahmad. (n.d.). Muzik Kontemporari sebagai Alat Pembentukan Nilai dalam Komuniti: Ke Mana Hala Tuju Kita?. Capaian dari http://repo.uum.edu.my/1853/1/29.pdf
​
Nizam S. (2012). Awan Nano Mengungkap Keindahan Bahasa Melayu Di Pentas Juara Lagu. Capaian dari http://dwnbahasa.dbp.my/?cat=22
​
Suzianah Jiffar. (2019). Karya Muzik Bantu Martabatkan Bahasa Ibunda. Capaian dari https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/622695/karya-muzik-bantu-martabatkan-bahasa-ibunda