top of page

Lagu Tradisional Bidayuh

Memaparkan koleksi lagu tradisional Bidayuh yang klasik, autentik dan unik baik dari segi corak pematahan lagu, seni kata mahupun instrumen muzik yang diketengahkan sudah pasti mampu memukau audiens.

1. Seni MukahSasob Ak Marai
00:00 / 28:02
2. Boris SopuhRinai (Pak Jenis)
00:00 / 18:18
3. Nyirandau PanggahOtor Ak Sinyam
00:00 / 27:45
4. Ayun Ngenang
00:00 / 24:26
5. Boris Ponang GiringJurey, Jinoh & Jindeb
00:00 / 20:05

Lagu tradisional Bidayuh tersebut merupakan koleksi lagu yang telah diperoleh daripada pihak Radio Waifm Bidayuh di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak. Kebanyakan lagu tradisional berkenaan dirakamkan pada tahun 1960-an hingga 1970-an yang merangkumi dialek Bidayuh berlainan seperti dialek Bidayuh Biatah (Seni Mukah, Nyirandau Panggah), Bau Jagoi (Boris Sopuh, Boris Ponang Giring) dan Bukar Sadong (Ayun Ngenang). Lagu tradisional Bidayuh masih dimainkan di Radio Waifm Bidayuh pada masa kini dan akan mula bersiaran pada pukul 10 malam pada hari Isnin hingga Jumaat. Sehubungan dengan itu, siaran berkenaan dijalankan melalui tiga sesi dalam tiga dialek Bidayuh secara bergantian iaitu:

Minggu Pertama: Bau Jagoi

Minggu Kedua: Biatah

Minggu Ketiga: Bukar Sadong

Minggu seterusnya pula akan bersambung mengikut urutan dialek yang ditetapkan.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lagu-lagu tradisional Bidayuh direkodkan dan disimpan dalam bentuk piring hitam, pita rakaman dan Compact Disc (CD) di bilik rakaman RTM Sarawak dan difahamkan bahawa hanya pihak RTM Sarawak sahaja yang menyimpan koleksi lagu tradisional Bidayuh sehingga sekarang. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka berusaha untuk memelihara bahasa Bidayuh termasuk bahasa-bahasa etnik yang lain supaya tidak luput ditelan zaman. Oleh hal yang demikian, pihak RTM akan sentiasa memastikan semua rakaman tersebut dipelihara sebaiknya dengan memasukkan lagu-lagu dalam arkib digital sekiranya berlaku kerosakan pada piring hitam, pita rakaman dan CD.

gamba cd 1.jpg

Gambar 1

gamba cd 2.jpg

Gambar 2

Gambar 1: Salah satu lagu tradisional Bidayuh yang direkodkan dalam bentuk Compact Disc (CD). Tarikh rakaman lagu adalah tidak diketahui namun hanya tarikh pindaan rakaman lagu ke dalam CD dinyatakan iaitu pada 24 April 1998.

Gambar 2: Lagu-lagu tradisional Bidayuh dimuatkan dalam CD yang dipindahkan rakamannya pada tahun 1998.

Selain itu, lagu-lagu tradisional Bidayuh sebenarnya mengandungi tempoh masa yang panjang iaitu sekitar 20 minit hingga 30 minit atau lebih. Terdapat banyak nama artis, nama lagu dan tarikh rakaman lagu sebenar tidak diketahui. Disingkapkan bahawa lagu-lagu tradisional Bidayuh yang dimainkan bersama alat-alat muzik tradisional dicipta oleh masyarakat Bidayuh Pagan di rumah panjang suatu ketika dahulu. Pada hakikatnya, bahasa dalam lagu tradisional Bidayuh yang digunakan agak kurang difahami oleh orang Bidayuh sendiri pada zaman sekarang kerana bahasa tersebut kurang didedahkan kepada generasi baharu disamping ia digunakan oleh orang-orang tua dahulu sahaja. Namun begitu, lagu tradisional itu masih lagi dinyanyikan semasa perayaan hari Gawai tetapi agak jarang dilakukan. Jika diteliti dengan lebih mendalam, masyarakat Bidayuh bersifat inovatif dan kreatif kerana turut menyelitkan pantun-pantun dalam lagu tradisional mereka.

Di samping itu, masyarakat Bidayuh Bau masih ada yang memegang kepercayan Pagan di rumah panjang. Dalam hal ini, aktiviti nyanyian lagu tradisional yang selalu dipelopori oleh orang-orang tua semakin berkurangan apabila mereka meninggal dunia kerana kebanyakan orang-orang muda kurang mempraktikkan amalan tradisi nenek moyang mereka. Rentetan itu, lagu-lagu tradisional Bidayuh cuma dapat diketahui dan didengari di corong radio ataupun semasa perayaan hari Gawai (jika masih ada orang yang menyanyikannya). Oleh itu, pihak RTM Sarawak bergiat aktif dalam menjamin kelangsungan lagu-lagu tradisional Bidayuh dengan menyiarkannya secara berterusan di saluran radio supaya masyarakat Bidayuh termasuk masyarakat bukan Bidayuh didedahkan dengan lagu klasik tinggalan warisan orang-orang zaman dahulu agar berkembang hidup dalam arus globalisasi kini.

Segala maklumat di atas merupakan hasil temu bual bersama Puan Martina anak Naun, 51 tahun, Pengelola Radio Waifm Bidayuh di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak dan juga merupakan orang Bidayuh Bau, Sarawak.

​

​

​

Kajian Lagu Tradisional Bidayuh

​

Menurut Mary Fatimah Subet, Shanthi Nadarajan, Wan Robiah Meor Osman & Salbia Hassan (2015), secara umumnya, kebanyakan masyarakat Bidayuh di Bau, Sarawak mengamalkan ajaran Kristian terutamanya Roman Katolik dan Singai. Kedua-dua bahasa tersebut digunakan sebagai bahasa gereja di sana. Sebenarnya, kelompok pertama kaum Bidayuh yang mengubah kepercayaan animisme kepada Kristian ialah kumpulan Singai disebabkan kedatangan mubaligh Kristian semasa taklukan empayar British. Diceritakan bahawa masyarakat Bidayuh yang menjadikan kepercayaan animisme sebagai pegangan hidup turut mengamalkan cara hidup nomad semasa berperang. Dalam pada itu, mereka turut menghafal dan menyanyikan tradisi lisan (lagu) yang didapati mengandungi unsur keberanian, kekuatan dan ketinggian jiwa yang kental dalam menghadapi cabaran hidup. Lagu-lagu nyanyian mereka juga bertujuan sebagai hiburan bersama bagi menerapkan sifat keberanian dalam diri. Lebih-lebih lagi, kandungan tradisi lisan mereka dilihat memerihalkan mesej penghayatan tentang harapan pemeliharaan dan pengekalan warisan tersebut secara berterusan.

​

Lagu Perang (Nuek, 2006)

                                                                                      

Lagu Asal

​

Sirugama bunga rurai,

Bunga rurai, runai kumang,

Bujang pogan mokat biraku barai,

Boding dah ku dio 

bikiruong iran.

​

Sitoee manuk kangkung,

Kangkung nimang togin dowon,

Toiee geh mun burun bisuai manuk,

Manuk dah ku ponu oran

rurus mujur tongon.

​

​

Terjemahan

​

Engkau yang antara yang kuat,

Dan tidak boleh ditewaskan,

Engkau yang membawa pasukan kami ke depan,

Menentukan bahawa kami

akan berjaya.

​

Sentiasa waspada ketika kami menghadapi musuh,

Bahaya mungkin terdapat di sekeliling,

Jangan berhenti di mana-mana sepanjang perjalanan,

Bergerak pantas dan lurus

ke arah destinasi.

​

​

Cerita rakyat yang terkandung dalam lagu di atas jelas memperlihatkan sifat kreativiti yang tinggi dalam masyarakat Bidayuh. Mereka mengadaptasi cerita rakyat dalam penciptaan lagu dan dinyanyikan bersama-sama. Cerita dalam lagu "Perang” di atas sebenarnya bermula pada abad ke-19 dan dikaitkan dengan karakter utama yang dilahirkan dengan kuasa magis serta dikenali dengan sifat keberaniannya. Penceritaan dalam lagu sememangnya berkisarkan tentang perjalanan kisah karakter utama dan tempoh nyanyian adalah agak panjang seperti koleksi lagu tradisional Bidayuh di atas merangkumi “Boris Sopuh”, “Boris Ponang Giring” dan sebagainya. Penceritaan juga turut terisi dengan kisah haiwan, magis, kuasa ghaib dan lain-lain. Oleh itu, lagu tradisional Bidayuh bukan sahaja dicipta sebagai hiburan semata-mata namun ia sememangnya dicipta dengan unsur-unsur penambahan cerita rakyat dan pantun sebagai pemeliharan tradisi lisan mereka untuk warisan generasi baharu.

​

​

Sumber:

 

Martina anak Naun. (2020, Jun 25). Lagu Tradisional Bidayuh [Temu bual].

​

Mary Fatimah Subet, Shanthi Nadarajan, Wan Robiah Meor Osman & Salbia Hassan. (2015). Unsur Semantik dan Pragmatik dalam Pantun Bidayuh Jagoi. Kuching: InfoGrafik Press Sdn. Bhd.

bottom of page