top of page

Pendekatan Efektif Menerusi Nursery Rhymes

NURSERY RHYMES

Nursery Rhymes ataupun sajak kanak-kanak merupakan lagu pendek dan ayat-ayat yang sering dibaca atau dinyanyikan kepada/oleh anak-anak kecil. Secara umumnya, banyak nursery rhymes yang sudah berusia berabad-abad lamanya lebih-lebih lagi ia berasal daripada tradisi lisan yang panjang. Nursery rhymes juga mempunyai variasi dalam bahasa lain dengan menggunakan sajak yang sama tetapi muncul di negara yang berbeza. Ia merupakan salah satu kaedah untuk meningkatkan sastera kanak-kanak secara umum. Kebanyakan nursery rhymes bermula pada abad ke-16 dan berkembang luas pada abad ke-18. Pada awalnya, nursery rhymes banyak digubah untuk hiburan orang dewasa. Namun begitu, nursery rhymes kemudiannya divariasikan bersama gaya, nada, subjek, tema serta penggunaan irama yang menarik dan bersesuaian bagi membolehkan kanak-kanak mudah mengingati sajak tersebut.

Menurut Martina anak Naun (2020), masyarakat Bidayuh tidak mempunyai lagu kanak-kanak. Jika terdapat sebarang penganjuran program atau aktiviti untuk kanak-kanak, pihak penganjur akan memfokuskan pemilihan lagu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Tambahan pula, pihak produser lagu selalunya menerbitkan lagu-lagu moden yang berkaitan dengan orang dewasa sahaja seperti tema percintaan dan sebagainya. Maka, cadangan idea tentang penciptaan lagu kanak-kanak dalam bahasa Bidayuh tercetus. Lagu tradisional Bidayuh akan digubah dalam bentuk lagu kanak-kanak (nursery rhymes) mengikut acuan tersendiri. Seni kata lagu tradisional Bidayuh masih dikekalkan atau sedikit pengubahsuaian dan dimurnikan. Irama muzik pula dimujaradkan untuk kesesuaian kanak-kanak. Lebih-lebih lagi, terdapat lagu-lagu tradisional Bidayuh yang diselitkan dengan pantun dan cerita rakyat Bidayuh. Malah, bahasa figura yang merujuk kepada representasi, perwakilan, perlambangan atau simbolisme seperti adanya pantun-pantun dalam lagu tradisional Bidayuh dapat dikekalkan.

Selain itu, lagu-lagu tradisional Bidayuh selalunya dimainkan bersama alat muzik gong atau Intangible Gong. Gong merupakan antara alat muzik tradisional masyarakat Bidayuh rumah panjang zaman dahulu yang menjadi simbol keunikan. Penggunaan intangible gong inilah yang menghiasi latar belakang semasa nyanyian lagu tradisional Bidayuh justeru menjadi lambang identiti masyarakat Bidayuh. Perkara ini sudah semestinya membuka peluang kepada masyarakat Bidayuh untuk terus memelihara warisan tradisi dengan menjadikan lagu kanak-kanak sebagai medium pengekalan bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana penerapan awal lagu tradisional Bidayuh sebagai nursery rhymes untuk kanak-kanak dapat mendedahkan pengetahuan tentang bahasa Bidayuh lama pada usia muda. Tambahan pula, masyarakat Bidayuh boleh merujuk British nursery rhymes sebagai panduan untuk menghasilkan lagu kanak-kanak bermutu lantas mampu mengikuti jejak langkah kejayaan masyarakat British dalam memelihara bahasa mereka sepanjang zaman. Selaras dengan perkembangan masyarakat global, masyarakat Bidayuh dapat bergerak pantas dengan membentuk idea kreatif, inovatif dan menarik melalui penghasilan nursery rhymes menerusi penyerapan lagu tradisional Bidayuh ke seantero dunia.

LANGKAH PENGHASILAN NURSERY RHYMES

Bahagian Pertama - Fikirkan Satu Topik

Pencipta lagu kanak-kanak perlulah kreatif dan memenuhi cita rasa kanak-kanak supaya lagu tersebut dapat menghiburkan serta boleh diaplikasikan dalam pembelajaran dan kehidupan setiap kanak-kanak yang mendengarnya. Penggunaan perkataan adalah terhad agar mampu memberangsangkan minat kanak-kanak terhadap lagu tersebut. Setiap lagu yang dicipta perlulah mempunyai topik yang menarik berkisahkan tentang haiwan, tumbuhan, sejarah dan budaya kaum Bidayuh.

 

Masyarakat Bidayuh boleh menghasilkan lagu kanak-kanak dengan menggunakan lirik dalam lagu tradisional Bidayuh. Melalui usaha ini, lagu tradisional masyarakat Bidayuh dapat dikekalkan dengan mendedahkan dan mempraktikkannya terhadap golongan kanak-kanak. Langkah ini menunjukkan bahawa budaya dan bahasa Bidayuh akan disemai dalam setiap jati diri masyarakat tersebut sejak masih berumur bawah belasan tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana lagu kanak-kanak boleh dimainkan di peringkat pendidikan awal kanak-kanak iaitu di taska, tadika dan sebagainya. Kanak-kanak kebiasaannya mudah menghafal dan mengingat apa yang dipelajari di sekolah terutamanya lagu yang dipelajari sepanjang tempoh umur tersebut.

 

Penghasilan lagu kanak-kanak perlu memenuhi kriteria yang diminati oleh kanak-kanak iaitu adanya cerita di sebalik makna lirik lagu tersebut. Masyarakat Bidayuh terutamanya golongan muda perlu mempelajari bagaimana cara untuk menghasilkan lagu dan liriknya yang mengandungi unsur-unsur haiwan, tumbuhan, watak-watak pahlawan kaum Bidayuh dan sejarah kaum Bidayuh. Contohnya, lagu Tok Tok Siok yang mengisahkan tentang haiwan iaitu ayam yang selalu memakan padi yang dijemur oleh masyarakat Bidayuh pada zaman dahulu semasa empunya padi tersebut pergi ke kebun untuk mencari buluh runsing di tepi sungai manakala bapa saudaranya yang ditugaskan untuk menjaga jemuran padi tersebut sedang lena tidur. Ayam merupakan unsur utama yang dipersembahkan dalam lagu ini yang menunjukkan pada zaman dahulu, masyarakat kaum Bidayuh banyak menternak ayam di kampung. Melalui lagu ini juga, kita mengetahui bahawa masyarakat Bidayuh gemar menjemur padi di luar rumah yang menunjukkan kegiatan ekonomi mereka ialah menanam padi. Lagu ini secara tidak langsung telah memperkenalkan budaya masyarakat Bidayuh sejak zaman dahulu. Terdapat pengulangan perkataan dalam lagu tersebut dan lagu diolah secara ringkas dan mudah difahami serta nada lagunya rancak. Kaum Bidayuh boleh merujuk lagu kanak-kanak British sebagai panduan penghasilan lagu kanak-kanak Bidayuh supaya dapat dimantapkan lagi penggunaan lagu kanak-kanak secara meluas di peringkat sekolah.

​

Menurut Martina anak Naun (2020), lagu Tok Tok Siok bukanlah lagu kanak-kanak mahupun lagu tradisional Bidayuh sebaliknya ia merupakan lagu pop Bidayuh. Sesetengah masyarakat Bidayuh tersalah anggap dan keliru akan kedua-dua perkara tersebut kerana mungkin lagu Tok Tok Siok selalu didengari sewaktu mereka masih kecil. Maka, penyataan tersebut ditegaskan sekali lagi dengan tiadanya kewujudan lagu kanak-kanak dalam masyarakat Bidayuh.

1.jpg

Gambar 1: Kanak-kanak Bidayuh prasekolah dari Kampung Maan.

Langkah Pertama: Pilih jenis haiwan

Tuliskan tentang satu haiwan sebagai satu pendekatan menarik. Penulis boleh memikirkan haiwan-haiwan yang sinonim dalam budaya masyarakat Bidayuh atau boleh melakukan penelitian terhadap lagu-lagu tradisional Bidayuh yang pasti mengandungi unsur fauna. Penulis juga boleh merujuk cerita rakyat dan pantun Bidayuh memandangkan elemen tersebut juga ada diadaptasi dalam lagu tradisional. Contohnya:

 

  • Pemilihan ikan bangkuh yang simbolik dalam kaum Bidayuh.

  • Penciptaan haiwan secara imaginasi seperti ikan bangkuh berwarna hitam.

 

Penulis boleh mengaitkan warna ikan dengan warna-warna simbolik atau warna yang sinonim dalam masyarakat Bidayuh. Contohnya, warna hitam merupakan warna utama dari segi pemakaian dalam budaya kaum Bidayuh.

Langkah Kedua: Cipta watak

Fikir dan cipta satu watak dalam penceritaan lagu. Penulis boleh merujuk pada lagu-lagu tradisional Bidayuh yang pasti ada terkandung watak utama seperti manusia atau haiwan. Kemudian, fikirkan jalan penceritaan tentang watak tersebut dan hasilkan jalan cerita yang pendek mengikut kesesuaian. Contohnya, lagu tradisional Bidayuh abad ke-19, lagu "Perang" mengandungi karakter utama yang mempunyai kuasa magis dan dilahirkan dengan sifat keberanian. Watak tersebut juga digambarkan menggunakan keberaniannya untuk berperang melawan musuh. Lagu Perang itu disifatkan mengandungi elemen pencetusan semangat patriotisme dalam mempertahankan golongan bangsa Bidayuh ketika peperangan pada waktu itu.

Langkah Ketiga: Bina versi berbeza

Penulis hendaklah mencari idea dengan membina nursery rhymes yang berbeza daripada kewujudan nursery rhymes yang sedia ada. Jadikan British nursery rhymes sebagai panduan dalam mencipta lagu kanak-kanak Bidayuh. Penulis boleh memilih English nursery rhymes yang dirasakan menarik. Kemudian, tulis seni kata lagu mengikut versi Bidayuh yang turut menggunakan olahan subjek dan struktur ayat yang sama. Cipta satu versi yang mempunyai perwatakan atau topik berbeza. Penulis boleh menggantikan topik original kepada suatu yang disukai. Contohnya:

 

  • Lagu tradisional Bidayuh, Boris Ponang Giring (Bau Jagoi) dikaji seni kata lagu dan kemudian dibandingkan serta diubahsuai dengan British nursery rhymes seperti lagu “Twinkle Twinkle Little Star”. 

Bahagian Kedua - Menulis Draf

Lagu tradisional Bidayuh boleh diperkenalkan dengan menggunakan lirik asal lagu tradisional dengan ringkas dan mudah difahami maknanya oleh kanak-kanak dalam nursery rhymes. Lirik yang diolah dan dihasilkan menjadi satu lirik lagu yang baharu untuk kanak-kanak perlu mempunyai topik utama, isi utama dan penutup bagi lagu tersebut. Jika pengubah lirik lagu tersebut memilih lagu tradisional yang menceritakan sejarah pahlawan Bidayuh, nama dan jasa perjuangan pahlawan tersebut haruslah dimasukkan ke dalam lirik lagu kanak-kanak tersebut. Cara ini memudahkan golongan kanak-kanak mengetahui para pahlawan Bidayuh yang telah berjuang untuk bangsanya sendiri pada zaman dahulu sebagai usaha penerapan nilai patriotisme. Bukan itu sahaja, lagu tradisional yang ada kaitan dengan unsur-unsur haiwan juga boleh dijadikan lagu kanak-kanak supaya mampu mendorong kanak-kanak lebih gemar untuk mendengar dan mempelajari setiap lirik dalam lagu tersebut.

 

Rekaan lirik lagu kanak-kanak ini boleh menggunakan nombor, pengulangan aliterasi, asonansi, anafora, repetisi dan pengulangan ayat mahupun perkataan. Kaedah ini digunakan agar para pendengar iaitu kanak-kanak berkebolehan dalam menghafal dan mengingati lirik lagu kanak-kanak tersebut. Penggunaan nombor, pengulangan aliterasi, asonansi, anafora, repetisi dalam lirik lagu tersebut dapat membantu kanak-kanak dalam mempelajari nombor, konsonan, vokal dan ejaan sekali gus menerapkannya dalam pembelajaran seharian. Akan tetapi, perkataan asal yang terdapat dalam lirik lagu tersebut perlu dikekalkan tanpa mengubah ketulenan makna lirik yang diambil daripada lagu tradisional agar bahasa Bidayuh masih kukuh digunakan berikutan peredaran zaman yang semakin moden. Para penulis lirik lagu kanak-kanak ini juga boleh menambah unsur-unsur lucu yang akan mempengaruhi daya ingatan kanak-kanak semasa mendengarnya.

2.jpg

Gambar 2: Kanak-kanak Bidayuh meraikan perayaan Gawai bersama-sama di Kampung Taee, Serian.

Langkah Pertama: Menulis cerita ringkas

Tulis satu cerita ringkas berkenaan dengan topik. Majoriti nursery rhymes mempersembahkan cerita pendek mengenai suatu karakter atau topik. Penulis hendaklah mempersembahkan satu watak atau topik dan menunjukkan perkara yang berlaku. Penulisan cerita hendaklah mengandungi permulaan, pertengahan dan penutup berserta peristiwa atau konflik sebagai klimaks. Contohnya, seorang budak lelaki Bidayuh secara tidak sengaja menjatuhkan joran ke dalam sungai ketika ingin menangkap ikan bangkuh.

Langkah Kedua: Ikuti Skema Lagu

Penulis boleh mengikuti skema lagu sebagai pendekatan tradisional. Skema lagu yang ringkas dapat memperkembang lirik lagu ke arah rima yang spesifik. Penulis boleh memikirkan skema lagu seperti ABABCC dan sebagainya mengikut kreativiti tersendiri. Menurut Mary Fatimah Subet, Shanthi Nadarajan, Wan Robiah Meor Osman & Salbia Hassan (2015), masyarakat Bidayuh mengaplikasikan penggunaan ciri-ciri pantun dalam lagu mereka kerana nyanyian lagu Bidayuh agak serupa dengan pantun dan syair. Perkara ini jelas dapat dilihat seperti contoh sajak Inggeris (poems) dan Melayu yang berkaitan dengan persamaan urutan bunyi akhir dan awal baris serta jumlah baris dalam sajak kedua-dua bahasa tersebut. Dalam hal ini, majoriti pantun Bidayuh Jagoi hadir sebagai pantun empat kerat (empat baris serangkap). Selain itu, pantun Bidayuh juga muncul dalam dua baris, enam baris dan lapan baris. Tambahan pula, rima pantun Bidayuh kebanyakannya bersifat abab dan perkara ini boleh dikaji dan dianalisis dengan lebih mendalam oleh penulis dalam menghasilkan lagu kanak-kanak Bidayuh berkualiti.

​

Berikut merupakan perbandingan rima atau bunyi akhir antara lagu bertajuk “Joget Sowa Bauh” (mengandungi elemen pantun) bersama pantun Bidayuh Jagoi. 

​

Joget Sowa Bauh

oleh Ji'iam Anak Daek, 61 tahun (2011)

​

Tumu bikudu di puun sorai,

                           Di maket jajak bijua tobuh,                            

Oku bilagu di onu Gawai,

Bilagu joget sowa bauh.

​

Di maket jajak bijua tobuh,

Tobuh obuo, bijua saang,

        Bilagu joget sowa bauh,            

Samah samah 'to odi ngabang.

​

Pantun Klasik Bidayuh

oleh Ahiem Anak Majin, 66 tahun (2011)

​

           Jika tumbuh rada di pintu,             

         Papan jawa batang rimbutan,           

          Jika la sungguh pasca begitu,            

badan di nyawa saya jurahkan.

​

            Duak cina duak melayu,              

          Duak tambi menjadi enam,            

             Apa kena' bunga dilayu,              

Cara puhun mula ditanam.

​

Langkah Ketiga: Penggunaan repetisi

Penulis menerapkan penggunaan repetisi untuk menambah rima. Penulis boleh mengulang nama watak utama dalam nursery rhymes serta pengulangan kata adjektif atau maklumat berkaitan topik. Contohnya, penulis boleh merujuk British nursery rhyme “Row, Row, Row your Boat” mengandungi repetisi pada perkataan “row” dan “merrily”.

​

Row, row, row your boat

Gently down the stream

Merrily, merrily, merrily, merrily

Life is but a dream.

Langkah Keempat: Penggunaan aliterasi

Penggunaan aliterasi juga sangat penting bagi menjadikan lagu kanak-kanak menarik. Aliterasi merupakan bunyi vokal yang sama pada satu ayat. Penulis hendaklah memikirkan perkataan dalam bahasa Bidayuh yang bermula dengan huruf yang sama dengan bunyi pada satu atau dua baris dalam lirik lagu. Contohnya, penulis boleh merujuk British nursery rhyme “Peter Piper” yang mengandungi penggunaan aliterasi.

 

Peter Piper picked a peck of pickled peppers. A peck of pickled peppers Peter Piper picked. If Peter Piper picked a peck of pickled peppers, how many pickled peppers did Peter Piper pick?

Langkah Kelima: Pengiraan

Penulis boleh menambah unsur pengiraan dalam lagu untuk mengajar sistem nombor secara tidak langsung. Terdapat sesetengah nursery rhymes menggunakan kaedah pengiraan supaya kanak-kanak dapat menghafal nombor dengan mudah. Selain itu, ia juga merupakan antara cara terbaik bagi menambah rima dalam lirik lagu yang juga disertai dengan set struktur. Penulis boleh memulakan pengiraan dari nombor 1 hingga 10. Contohnya, British nursery rhyme “One Two Three Four Five Once I Caught a Fish Alive” mengandungi unsur pengiraan.

 

One two three four five once I caught a fish alive,

six seven eight nine ten then I let him go again,

why did you let him go because he bit my finger so,

which finger did he bite.

This little finger on my right!

Langkah Keenam: Penentuan baris lagu

Kekalkan lirik lagu dari empat hingga tujuh baris. Nursery rhymes secara kebiasaannya adalah pendek dan padat. Penulis perlu memastikan lagu mengandungi bahagian permulaan, pertengahan dan penutup dengan sekurang-kurangnya tiada lagi baris selepas baris tujuh. Penulis hendaklah lebih memfokuskan kepada elemen aliterasi, rima dan repetisi untuk membentuk stail dan personaliti. Walau bagaimanapun, jika penulis mencipta lagu yang panjang, penulis boleh menjadikannya sebagai koleksi nursery rhymes iaitu setiap lagu mengandungi empat hinga tujuh baris.

Bahagian Ketiga - Memperbaiki Nursery Rhyme

Penulis lirik boleh membaca semula lirik yang dihasilkan bagi memastikan lirik tersebut teratur dan menarik. Lirik tersebut boleh dikemukakan kepada orang sekeliling terutamanya yang berbangsa Bidayuh bagi mendapat maklum balas yang baik demi penghasilan lirik lagu kanak-kanak yang produktif. Setelah itu, pilihan nada lagunya perlulah rancak dan bersesuaian agar dapat menghiburkan kanak-kanak supaya kanak-kanak tidak berasa bosan. Pemilihan nada lagu amatlah penting kerana ia akan memberi kesan terhadap peningkatan tahap keaktifan kanak-kanak yang mendengar lagu tersebut. Kanak-kanak akan berasa ceria dan aktif semasa mendengar lagu yang boleh memberangsangkan minat dan minda mereka.

3.jpg

Gambar 3: Warga emas kaum Bidayuh di Kampung Semban, Padawan.

Langkah Pertama: Baca dengan kuat

Penulis membaca lirik lagu dengan kuat. Penulis perlu melakukannya berulang kali setelah selesainya draf nursery rhyme. Penulis hendaklah mendengar dengan teliti, menumpukan sepenuh perhatian pada rima dan cara sebutan atau pergerakan lidah. Perkara ini dapat memberikan peluang kepada penulis untuk memastikan lirik lagu dapat digunapakai untuk kanak-kanak.

Langkah Kedua: Bertanya pendapat

Penulis hendaklah berkongsi hasil karya lagu dengan orang sekeliling untuk memperoleh maklum balas. Penulis boleh memperdengarkan lagu tersebut dengan masyarakat Bidayuh di rumah panjang. Perdengarkan lagu tersebut kepada kanak-kanak Bidayuh untuk melihat penerimaan mereka. Selain itu, penulis boleh berkongsi hasil karya tersebut di laman Internet bagi mendapatkan respon masyarakat Bidayuh termasuk masyarakat bukan Bidayuh. Kumpul dan kaji pandangan dan pendapat mereka tentang hasil karya tersebut.

Langkah Ketiga: Penambahbaikan

Setelah pandangan dan pendapat masyarakat dikaji, penulis perlulah menambahbaik lagu tersebut secara teliti. Kenal pasti penggunaan ayat yang kurang sesuai dan perbaiki bahagian lain sekiranya perlu. Akhir sekali, penulis hendaklah membaca lirik lagu tersebut dengan kuat untuk proses identifikasi kelemahan. Sekiranya respon masyarakat terhadap hasil karya lagu sangat memuaskan, maknanya penulis telah berjaya menambat hati audien.

AKTIVITI - AKTIVITI MENERUSI NURSERY RHYMES

Aktiviti-aktiviti yang diketengahkan merupakan antara cara yang boleh dilakukan oleh masyarakat Bidayuh melalui nursery rhymes. Hal ini bertujuan untuk menyerap lagu kanak-kanak Bidayuh yang dicipta daripada lagu tradisional kepada bentuk lagu kanak-kanak moden dalam kehidupan seharian. Kanak-kanak diperkenalkan dengan pelbagai lagu kanak-kanak Bidayuh dengan mempelajari sebutan bunyi yang menjadi keutamaan pengembangan kemahiran literasi. Lagu yang diperdengarkan juga akan dapat membantu kanak-kanak membaca dan menulis dengan cepat. Lanjutan itu, aktiviti sebegini boleh dilaksanakan oleh masyarakat Bidayuh baik ibu bapa, guru-guru termasuk masyarakat bukan Bidayuh dan pihak yang terlibat dalam usaha mengekalkan bahasa Bidayuh. Kanak-kanak yang didedahkan dengan bahasa Bidayuh terutamanya bahasa lama kaum tersebut sejak awal akan dapat meningkatkan perkembangan bahasa dan komunikasi sejajar dengan objektif pemeliharaan dan pembangunan bahasa Bidayuh secara produktif.

Aktiviti Menyusun Semula Lirik Lagu Dengan Mengikut Urutan Yang Betul

Masyarakat Bidayuh boleh melakukan aktiviti menyusun semula lirik lagu dengan mengikut urutan yang betul dengan adanya penglibatan golongan kanak-kanak. Aktiviti ini dapat membantu kanak-kanak untuk menguatkan daya ingatan mereka terhadap susunan lirik lagu tersebut. Masyarakat Bidayuh boleh mengadakan aktiviti ini selepas kanak-kanak tamat menyanyikan lagu tersebut. Langkah-langkah yang perlu dilakukan semasa menjalankan aktiviti tersebut adalah seperti menyediakan pelbagai jenis warna bagi kad manila, kadbod, pita dua sisi (double-sided tape), pen penanda dan gunting. Kemudian, kad manila dan pen penanda digunakan untuk menulis kesemua lirik lagu tersebut. Selepas itu, kad manila perlulah digunting dalam bentuk segi empat tepat serta melekatkan pita dua sisi di atas kedua-dua bahagian tepi kad manila. Penganjur boleh menggunakan kadbod untuk menyusun dan melekat kad manila tersebut semasa menjalani aktiviti ini. Setiap kanak-kanak perlu mengambil sekeping kad manila yang mengandungi catatan lirik lagu dan bersiap sedia untuk menyusun lirik lagu tersebut sambil mendengar setiap lirik lagu yang akan dimainkan oleh para penganjur. Kanak-kanak akan menyusun kad manila masing-masing di atas kadbod dengan mengikut urutan yang betul. Setelah siap disusun kesemua kad manila tersebut, para penganjur boleh mengajak kanak-kanak untuk bersama-sama menyanyikan lagu mengikut urutan lirik yang telah disusun oleh kanak-kanak.

Aktiviti Menari Mengikut Pergerakan Sederhana

Lagu kanak-kanak boleh dipersembahkan dengan adanya tarian yang mempunyai pergerakan secara sederhana. Pergerakan yang dilakukan semasa menyanyikan lagu kanak-kanak ini perlulah kreatif dan mudah agar kanak-kanak mampu mengikuti dan menghafal setiap pergerakan yang telah dipelajari daripada pengajarnya. Dengan adanya tarian yang dicipta bagi setiap lagu kanak-kanak, kanak-kanak akan menikmati lagu tersebut tanpa berasa bosan dan mampu menjadikan kanak-kanak bergiat secara aktif. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga boleh mengadakan aktiviti ini di rumah dengan mengajak anak-anak mereka untuk bersama-sama menari mengikut rentak lagu. Anak-anak mereka secara tidak langsung akan mencontohi setiap pergerakan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Sebagai contohnya, kanak-kanak boleh saling berpegangan tangan dan berjalan mengelilingi ibu bapa mereka dalam bentuk bulatan. Pengajar juga boleh melakukan suatu tindakan atau pergerakan yang sederhana seperti meniru gerakan haiwan berdasarkan lagu yang dimainkan. Masyarakat Bidayuh digalakkan untuk mengadakan aktiviti seperti ini bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengekalkan lagu tradisional yang telah diubahsuai menjadi lagu kanak-kanak supaya dapat diamalkan oleh anak-anak mereka.

Aktiviti Mengadakan Persembahan untuk Pesta yang Menarik

Golongan kanak-kanak juga boleh mempersembahkan lagu kanak-kanak Bidayuh semasa menyertai pesta-pesta menarik di sekolah seperti persembahan nyanyian, lakonan dan sebagainya. Pesta ini boleh dianjurkan oleh masyarakat Bidayuh bagi memperluas penyertaan kepada golongan kanak-kanak yang berbangsa Bidayuh dan juga yang bukan berbangsa Bidayuh. Kanak-kanak yang bukan berbangsa Bidayuh digalakkan untuk menyertai aktiviti persembahan lagu tradisional Bidayuh bagi mempelajari bahasa dan budaya masyarakat Bidayuh. Persembahan yang dilakukan boleh merangkumi persembahan tarian dan nyanyian lagu kanak-kanak Bidayuh. Aktiviti ini akan memperkenalkan lagu tradisional kanak-kanak Bidayuh lebih mendalam kepada pelbagai kaum yang bukan berbangsa Bidayuh. Langkah-langkah yang perlu diambil sebelum melakukan persembahan ini adalah dengan memilih satu lagu yang boleh dilakonkan atau dinyanyikan oleh kanak-kanak. Setiap kanak-kanak harus melakukan persediaan dan latihan sebelum menyertai aktiviti ini bagi menjayakan pesta yang dianjurkan. Melalui aktiviti-aktiviti ini, bahasa dan budaya masyarakat Bidayuh sedikit sebanyak dapat diperjuangkan daripada tenggelam ditelan zaman.

Aktiviti Menyusun Gambar

Lagu kanak-kanak Bidayuh yang mempunyai kaitan dengan unsur-unsur flora dan fauna boleh diwujudkan menjadi satu aktiviti yang boleh memperkuat daya ingatan kanak-kanak. Contohnya, lirik lagu yang mengandungi unsur haiwan boleh ditulis di atas sekeping kad manila dan mengambil gambar haiwan yang berkaitan dengan lirik tersebut untuk dicantumkan. Pelbagai lirik lagu yang mempunyai unsur flora dan fauna serta gambar-gambar yang berkaitan juga perlu dikumpulkan untuk menjalankan aktiviti ini. Setiap kanak-kanak perlu mengambil satu keping gambar dan mencari lirik lagu yang mempunyai kaitan dengan gambar yang telah diambil untuk dicantumkan bersama. Kesan daripada aktiviti ini, golongan kanak-kanak akan lebih mengenali unsur-unsur haiwan dan tumbuhan yang mempunyai kaitan dengan budaya masyarakat Bidayuh. 

Kompilasi Aktiviti Menarik untuk Kanak-kanak Melalui Nursery Rhymes

Rujukan

Ajit mbedzi. (2019, Oktober 23). Amazing South african zulu Kids can sing and dance traditional songs [FailVideo]. Capaian dari https://www.youtube.com/watch?v=GiG8WlRg1Vs

​

Bombastic Borneo. (2014). Kampung Taee Gawai Parade 2014. Capaian dari https://bombasticborneo.com/2014/07/kampung-taee-gawai-parade-2014/

 

Borneo Post. (2015). Gawai Bidayuh now a merry and fun time. Capaian dari https://www.google.com/amp/s/www.theborneopost.com/2015/07/05/gawai-bidayuh-now-a-merry-and-fun-time/%3famp

​

Debbie Doo Kids TV. (2012, Julai 23). Debbie Doo & Friends! - Let's Star Jump! - Dance Song For Children [Fail Video]. Capaian dari https://www.youtube.com/watch?v=Qgq8nZqYNmE

​

Fun Hands-on Learning. (2017, Mei 2). Phonics Activity | Rhyming Words in Context [Fail Video]. Capaian dari https://www.youtube.com/watch?v=34yy_OvCbbk

​

I AM Montessori. (2016, Mei 28). Music Matching Activity [Fail Video]. Capaian dari https://www.youtube.com/watch?v=T1T--tWtXTQ

​

Martina anak Naun. (2020, Jun 25). Lagu Tradisional Bidayuh [Temu bual].

​

Mary Fatimah Subet, Shanthi Nadarajan, Wan Robiah Meor Osman & Salbia Hassan. (2015). Unsur Semantik dan Pragmatik dalam Pantun Bidayuh Jagoi. Kuching: InfoGrafik Press Sdn. Bhd.

 

Music Files Ltd. (2020). Nursery Rhymes and Children Songs. Capaian dari https://www.mfiles.co.uk/nursery-rhymes-and-childrens-songs.htm

​

Play With Purpose. (2018, Oktober 6). Nursery Rhymes Preschool Activities [Fail Video]. Capaian dari https://www.youtube.com/watch?v=RieBLwYAiUU

​

Sarawak Tourism. (2012). Our People - Bidayuh. Capaian dari https://sarawaktourism.com/blog/our-people-bidayuh/

 

Quintslayer. (2017, Januari 23). Tok Tok Siok (Original Version) – Mike Rantai [Fail Video]. Capaian dari https://youtu.be/3iGSV49FlSw    

WikiHow. (2020). How to Write Nursery Rhymes. Capaian dari https://www.wikihow.com/Write-Nursery-Rhymes

bottom of page